Monday, 26 October 2020

DENAI SUNGAI PENGKALAN DATU








DENAI SUNGAI PENGKALAN DATU

Semalam, 25 OKT 2020 saya sempat menjengah ke Denai Sungai Pengkalan Datu yang terletak di Kubang Kerian tidak jauh dari pusat Bandar Kota Bharu, Kelantan. Cantik dan menarik tempatnya iaitu sebuah kawasan sungai yang dijadikan kawasan rekreasi untuk penduduk setempat. Dikelilingi oleh kehijauan pepohon nipah, kelapa, pohon duku, dokong, langsat serta tumbuhan hijau semula jadi selain air sungai bersih menjadikan persekitarannya segar, sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga bagi menikmati udara bersih. Apa yang difahamkan kawasan tersebut baru sahaja dirasmikan pembukaannya kepada orang ramai oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri Kelantan sehari sebelumnya.

Untuk ke tempat ini, para pengunjung perlu melalui jalan atau lorong kecil yang hanya muat untuk sebuah kereta sahaja. Mungkin dalam hal ini pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Kerajaan Negeri boleh memikirkan cara untuk melebarkan jalan di kampong-kampong terlibat bagi kemudahan dan keselesaan orang ramai untuk berkunjung ke kawasan itu.

Selain itu, aspek kebersihan sungai juga perlu diberi perhatian. Memandangkan sungai terlibat masih bersih dari sebarang bentuk pencemaran, maka pengawasan perlu dibuat oleh pihak PBT. Oleh kerana ianya telah mula menarik perhatian umum serta pengunjung, dikhuatiri tabiat buruk sebilangan masyarakat yang berkunjung membuang sampah sarap, puntung rokok dan sebagainya di merata-rata tempat khususnya ke dalam sungai, akan mencemarkan sungai selain merosakkan eko-sistem kawasan tersebut.

Aspek keselamatan adalah yang terpenting yang perlu dititikberatkan. Pertama, keselamatan jeti laluan yang disediakan. Ianya semestinya kukuh dengan ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa oleh PBT bertanggungjawab. Kedua, peraturan-peraturan serta prosedur keselamatan untuk para pengunjung juga perlu jelas bukan sekadar meletakkan papan tanda amaran tentang risiko. Ketiga, PBT juga perlu menyediakan sepasukan Petugas Keselamatan Terlatih yang bertanggungjawab membuat pemantauan sepanjang masa di sungai berkenaan dan akan bertindak sebagai penyelamat sekiranya berlaku sebarang kemalangan. 

No comments:

Post a Comment